Tuesday, June 21, 2011

Backup Phone

Niat sebenar saya untuk berblog dan menyambung penulisan bab berjalan2 di JB dan Singapura terpaksa saya lupakan untuk malam ini. Saya perlu mentelaah buku pelajaran. Mungkin agak sangap untuk berbuat begitu tapi saya tiada pilihan.

Cuma malam ini saya tulis nota pendek kerana teringat kisah siang tadi. Ada seorang teman yang memberitahu saya bahawa dia mahu mencari 'back-up phone'. Yang seronoknya untuk diceritakan ialah, 'back-up phone' itu mungkin sejenis telefon pintar yang sangat fofular di zaman ini, i-phone. Selalunya telefon pintar menjadi pilihan pertama dan telefon 'biasa-biasa' adalah sebagai back-up phone.

Saya tahu dia hanya bergurau, dan saya juga hanya bersenda gurau di sini. Kepada yang empunya diri, kamu memang pandai bergurau, hahaha....

Friday, June 17, 2011

Hidup Ini Hebat, Kan?? Mari Terus Maju...

Hari ini saya mahu terus maju ke hadapan. Saya tidak mahu hidup dalam banyak cerita kemurungan dan kesedihan. Selama ini saya gembira dan ada masa terlalu gembira, jadi sekarang saya tidak mahu terlalu gembira. Saya harus gembira pada kadar yang biasa-biasa sahaja. Banyak lagi perkara-perkara yang harus saya raikan dalam hidup ini. Contohnya, memanjat bukit dan gunung-gunung yang belum dipanjat, makanan sedap dan muvi2 yang best untuk ditonton.

Esok bermula sesi kuliah untuk kelas 'Top-up' di UPM. Maka dengan ini saya sangat pasti, hari-hari saya selama sebulan lebih akan datang akan jadi sangat sibuk dan sibuk. Bak kata jiran sebelah cubic saya, "dah tua-tua belajar..." ayat itu saya tau hanya gurauan, tapi realitinya betul, bila dah berumur sikit, rasa malas itu ada lebih lagi sudah 4 tahun meninggalkan kuliah. Bukan saja malas, lambat tangkap mungkin juga..hahahaha

Apa yang pasti, saya sudah buang kemurungan dan kesedihan tahap dewa itu jauh-jauh. Terima Kasih kepada Ustazah mengaji saya kerana mengajarkan ayat penghilang duka. Saya teringat ketika dia memberikan ayat itu, sambil bersalam dan mencium tanganya, ustazah berkata "fadzilah, jangan sedih-sedih lagi ye, amalkan bacaan ayat itu". Saya tergamam tanpa berkata dan hanya tersenyum malu sambil terdetik di hati " macamana ustazah tau saya sedang bersedih?"
... tiada jawapan.

Saya sertakan ayat penghilang duka, diambil dari Surah Yassin, ayat 76. Mari kita sama2 amalkannya, InsyaAllah.


Maksudnya: Maka janganlah engkau (wahai Muhammad) berdukacita disebabkan tuduhan-tuduhan mereka (terhadapmu). Sesungguhnya Kami mengetahui apa yang mereka rahsiakan dan apa yang mereka nyatakan.

Mari kita maju ke hadapa...

Thursday, June 16, 2011

Jika Saya Lari, Siapa Yang Akan Kejar?

Tiga hari ini saya merasa seperti orang yang ada berat tapi hanya lemak dan daging yang meliputi badan saya, tidak ada tulang. Kaki saya sangat longlai untuk melangkah. Saya rasa sudah lama saya tak merasa seperti ini, tapi sekarang saya rasa semula. Saya rasa cukup penat. Saya rasa sangat tak berdaya. Pada kebanyakan yang mengenali saya tahu saya sangat kuat malah ada yang kata saya sangat tabah, tapi untuk ketika ini kekuatan itu hilang. Saya tak tahu lenyap ke mana.

Buat masa ini saya perlukan rasa terasing. Mungkin saya harus pergi ke tempat yang asing yang hanya dikelilingi orang yang asing. Saya mahu duduk bersembang berdua di bawah pokok sambil ditiup angin laut atau hanya duduk diam sahaja di situ. Dengan siapa? Saya sendiri tidak tahu, tapi satu yang sangat pasti, saya tahu saya mahu lari. Adakah orang yang akan kejar?

Saya hanya mahu lari untuk melupakan sekejap dunia yang penuh kebisingan dan huru-hara ini.

Walaupun saya tahu DIA tidak pernah lari meninggalkan sesiapa dan harus berbalik padaNYA, saya hanya mahu lari sekejap.

"believe in Up Above, then somehow someway HE'll show u the way"

Wednesday, June 15, 2011

Berjalan Ke Johor; Aktiviti 1: Majlis Kahwen

Hari minggu lepas, 11&12 Jun, hari saya dipenuhi bersama 3 orang teman; adik,nurul dan huz bersama-sama pulang ke Kota Tinggi,tempat tumpah darah saya.


Tujuan asal memenuhi ajakan nurul menemani dia ke majlis kahwen teman baiknya, Ija. Dilihat dari ekspresi wajah dan gaya percakapan sudah tahu memang dia sangat teringin untuk ada dimajlis teman baiknya itu. Sebagai membalas jasa kerana sering tidak menolak setiap pertolongn yang diminta dan kebetulan juga saya mahu pulang ke kampung untuk mengambil buku rujukan yang akan digunakan untuk kuliah kertas tambahan yang bermula minggu ini, saya setuju untuk bersama menempuh lebuhraya utara-selatan. Bersama 2 lagi ahli GGK, (tapi bukan aktiviti rasmi GGK) kami memandu WRS ke Johor. Sebenarnya saya sangat suka untuk memandu si hitam manis WQY tapi memikirkan apa salahnya WRS di bawa jalan jauh sekali sekala, saya meminta empunya si merah mengizinkan dia dibawa. Saya bukan mengambil kesempatan ye.


Perjalanan kami berhenti di Muar dan kami bermalam di sana. Saya dapat berjumpa dengan bonda tercinta di sana, jadi saya merasa lega dan seronok. Yeay!!









Selamat Pengantin Baru buat Ija dan suami, semoga bahagia ke akhir hayat.


Tamat aktiviti 1. Akan bersambung Aktiviti lain dientri selepas ini.






































Tuesday, June 14, 2011

Tulisan Selepas Terjaga Dari Tidur

Malam ini saya mahu menulis. Saya duduk berseorangan di dalam bilik. Sendiri.
Sesetengah orang; Keluarga, kawan-kawan, Kekasih (tak lagi sekarang), mereka tidak sedar betapa yang saya sayang mereka. Sayangkan mereka dengan sepenuh hati. Tatkala saya cuba berikan semua kasih sayang saya itu, adakalanya atau selalu saya akan keliru.

Walaupun saya cuba lakukan yang terbaik, walaupun saya cuba berikan komitmen yang tinggi, adakalanya saya akan melakukan kesilapan. Hantu yang benama kesilapan memang selalu mengacau hidup saya. Cara yang terbaik untuk mengatasi kesilapan itu ialah belajar daripada kesilapan tersebut dan cuba jadi yang lebih baik.

Apabila terjadi sesuatu perkara terhadap orang yang saya sayang, saya akan menggelabah, saya akan risau dan kadangkala terlalu 'over reacting atau 'too sensitive'. Saya akan rasa kecewa dan sedih apabila saya buat orang yang saya sayang>> sedih,kecewa,menagis atau hampa. Itu adalah perasaan yang normal untuk manusia yang normal.

Namun, jauh di dalam lubuk hati saya yang berkarat ini, saya ambil berat terhadap semua orang-orang yang rapat dengan saya>> keluarga dan kawan-kawan. Mungkin cara saya salah atau mungkin cara saya tidak disenangi oleh sesetengan orang. jadi, disitulah orang-orang yang saya sayang ini perlu memainkan peranan. Membantu saya mengemudi kapal di lautan yang luas, menunjukkan kepada saya jalan yang mana perlu diikut. Jika tidak, saya pasti akan sesat.

Yang saya panggil kawan..

kadangkala saya akan berlaku kejam terhadap orang-orang yang saya sayang. Saya berfikir,kadangkala dengan terlalu kejam, mungkin mereka akan sedar dan tahu mengapa dan kenapa saya berbuat begitu. Mungkin saya boleh jadi 'over-protective', mungkin saya terlalu sensitif atau terlalu beria-ia atau mungkin juga tindakan saya tu betul, mungkin juga salah. Saya sendiri tidak pasti. Satu yang pasti, setiap orang yang berada di dalam lingkungan saya, haruslah dijaga dengan rapi. Harus saya cuba lindungi sebaik mungkin. Mungkin kadangkala saya tidak tunjukkan secara zahir, tetapi memadai jika dapat dirasakan dengan batin.

Kawan-kawan bukan hanya tempat untuk bergembira, mereka harus ada sentiasa, tidak kira di waktu sedih, marah, kecewa atau apa saja. Saya ada kawan-kawan yang sanggup menangis kerana saya dan sentiasa ada untuk menggembirakan saya.

Bila saya sudah tiada lagi nanti, saya harap mereka kawan-kawan saya sentiasa ada untuk bacakan Al-Fatihah daripada hati mereka yang mulia, (kawan-kawan saya mulia di mata saya).

Saya sudah mengarut dan saya rasa harus berhenti menulis sekarang.

Thursday, June 9, 2011

Tulisan Berat untuk Seoarng Teman Yang Saya Rindu

Mendengar satu lagu diradio semasa memandu ke tempat kerja, pagi ini saya ingin menulis tentang rasa rindu pada seorang teman yang sangat rapat dan melekat di hati saya. Sebenarnya baru seminggu lepas kami berjumpa setelah saya rasa hampir empat bulan tidak berjumpa. Untuk istilah teman rapat, jangka masa empat bulan itu amat pelik saya rasa, tanpa khabar berita, sms sekalipun. Dalam tempoh itu, sms saya sangat jarang dibalas, telefon apelagi, tidak berangkat, pernah katanya sibuk dengan urusan kerja.

Kehidupan saya untuk 6 tahun ini banyak dikongsi bersama dia. Dia banyak mengajar saya erti kesabaran, memahami dan menghormati kehendak orang lain, bersikap positif dalam banyak hal. kalau disebutkan memang terlalu banyak perkara yang kami kongsi bersama. Dan saya rasa dia lebih memahami diri saya lebih dari diri saya sendiri.

Untuk kamu wahai teman, saya tahu sebenarnya kamu menghadapi waktu-waktu yang sukar sebelum ini dan mungkin sekarang masih lagi. Percayalah saya masih ada lagi disini sama seperti dulu, tidak pernah lari dari menjadi diri saya sendiri. Kita masih lagi boleh bercerita,bergurau senda dan bernyanyi bersama-sama.

Maafkan saya kerana saya pernah tidak cuba memahami situasi awak sebelum ini. Menyalahkan awak kerana tidak ada bersama-sama saya ketika saya menghadapi waktu-waktu yng sukar.

Tulisan pagi hari ini saya ingin menyatakan saya rindu pada semua perkara yang pernah kita kongsi bersama, masakan awak, kari ayam,sup ayam, nasi ayam dan trifle sedap awak itu. Dan yang pasti, bebelan awak pada semua kedegilan-kedegilan saya.

Saya gembira untuk berita gembira awak itu, saya doakan semua yang terbaik untuk awak sekeluarga, terutama nyawa baru yang bakal lahir untuk menjadi penyeri kehidupan awak suami isteri. Ameen....

Saya rindu.....






Wednesday, June 8, 2011

Nota pendek: Purple Day

Setiap kali memakai baju malas (merujuk kepada baju kurung) berwarna pepel, setiap kali itu mesti sama dengan mamat ofis yang seorang ini, Meor spartan (nama fb nya). Bukan sekali,dua kali,tiga kali..berkali-kali. Tidak ada apa, kami rakan baik sekerja, rakan se 'practical training' thn 2006,rakan gossip,rakan bising,rakan segonjeng dan rakan bergurau (bersama-sama dua tiga rakan yang lain) di tempat kerja. Kepada tunangannya, cik Liza, no worry...hehehe.
Bermula bulan julai ini tak perlu saya risaukan lagi kerana enchek meor akan bertukar ofis... paling kuat boleh bergossip di emel dan telepon..hahaha



Gambar di atas menggunakan kamera nokia 2.0 megapixel, jadi namapak blurr sikit mugkin.

Tuesday, June 7, 2011

Tanjung Pagar

Ahad minggu yang lepas, saya melihat di kaca tv satu berita pendek tentang Stesen keretapi Tanjung Pagar, Singapura. Pada 1 julai 2011, perkhidmatan kereta api ke Stesen tanjung Pagar dan Bukit Timah akan ditamatkan dengan keretapi Tanah Melayu (KTMB) akan mengakhiri perkhidmatan kereta api itu di Woodlands train Checkpoint (WTCP). Tidak tahu mengapa dan kenapa, saya seperti merasa terpanggil untuk menjejakkan kaki ke stesen itu. Jika saya mengira-ngira waktu yang ada dengan kepadatan jadual mingguan saya, rasanya tidak sempat untuk saya menjejakkan kaki di situ.

Sedikit sejarah Stesen kereta api Tanjung Pagar, saya petik tanpa meng 'edit' sepatah pun dari Utusan Malaysia:

Stesen Tanjong Pagar ini dibina untuk menggantikan stesen kereta api Tank Road yang dibina tahun 1903 dan merupakan terminal keretapi pertama di Singapura. Keunikan Tanjong Pagar adalah hentian terakhir jaringan pengangkutan keretapi di hujung benua Asia. Walaupun berada di tengah-tengah negara lain, stesen Tanjong Pagar adalah pintu masuk ke negara ini bagi mereka yang memilih menggunakan perkhidmatan kereta api.


Picture credit to Aryna

Picture credit to Aryna

Stesen ini juga menjadi kelangsungan pada sejarah awal perkhidmatan kereta api ke Singapura. Ia bermula apabila Sultan Johor ketika itu, Sultan Abu Bakar menerima permintaan British untuk membina laluan kereta api dan pembinaannya dirasmikan pada 1909. Apabila berakhirnya riwayat Tanjong Pagar sebagai sebuah stesen, ini bermakna Tanjong Pagar juga menjadi penutup perkhidmatan kereta api di Singapura.

Pembukaan Tambak Johor pada 28 Jun 1924 menjadi pemangkin kepada perkhidmatan keretapi yang menghubungkan Singapura dengan negara ini. Stesen penuh sejarah ini menjadi suatu yang sering mengusik "keamanan dan persefahaman" Malaysia dan Singapura. Akhirnya terusir juga sebuah stesen kereta api milik Malaysia yang membelah republik itu. Semoga Singapura tidak memadamkan sejarah stesen Tanjong Pagar seperti terpadamnya sejarah Temasik.

Diikutkan mungkin tiada apa yang menarik di situ (mungkin), tapi entah kenapa saya merasa sangat ingin ke sana sebelum ianaya hanya dijadikan tatapan sebagai tinggalan sejarah.

Bila?


Monday, June 6, 2011

Fadd Gojes

Pagi-pagi lagi sudah ade kawan yang bernama kam memanggil 'fad gojes' dan selepas itu menyuruh saya membaca email. Rupanya ada email dari lead stress saya memberitahu dia bercuti, begini isi kandungan email itu:

"I'll be on leave on monday and tuesday (6&7 June). insyaAllah..
For Samarang pipe stress, pls liase with naim or fad gojes.
"

Saya hilite kan nama saya itu supaya nampak, dan yang sangat bagusnya email itu dihantar ke seluruh department saya, Mechanical Dept, yang seramai kurang atau lebih 80 org, dan kepada seorg staf mekanikal di Kerteh yang biasa saya hubungi untuk hal kerja, dan bermakna boss besar saya En ASAM dan sesiapa sahaja yang tidak mengetahui panggilan itu, secara rasminya tahu itu adalah nama timangan saya. Perasaan geram pun ada, tapi bukanlah geram marah sebab tak ada sebab yang sgt munasabah nak marahkan lead saya itu. Perasaan nak menghempok dia ada juga, sebabnya itu boleh juga dikira email rasmi yang menyatakan ketidak hadiran kami2 ke ofis.

Pada saya sendiri, mungkin boss tidak mengambil port langsung hal2 begini kerana dia tahu, kami2 anak buah dia memang kuat bergurau sesama sendiri. Cuma rasa janggal kerana ada antara kawan2 yang tidak begitu rapat (selain meor dan kim yg selalu memanggil saya begitu, atau kam atau kherol) lalu di sebelah cubic saya memanggil saya 'fad gojes'.

Kawan2 rapat GGK mungkin sudah tahu sejarah panggilan itu. Jadi biarlah panggilan itu kekal sampai bila2 untuk kenangan di hari2 tua nanti.... Saya berangan juga untuk menjadi 'gorgeous' yang sebenar, tapi entah bila dapat di'real' kan. Tidak mengapa kalau bukan sekarang saya nak berusaha ke arah itu (ini adalah ayat poyo saya).

Yang pasti, saya mahu hati saya tetap gojess seperti sekarang dan sentiasa gojess untuk selamanya, Amin...

Kepada enchek Masyudi Manas, siap kamu hari rabu nanti...


Saturday, June 4, 2011

Tulisan sebelum Maghrib: TAKDIR

Ini bukan tulisan hati saya tapi sebuah syair yamg dilagukan oleh Opick bersama Melly Goeslow bertajuk TAKDIR


Dihempas gelombang dilemparkan angin
Sekisah ku bersedih ku bahagia
Di indah dunia yang berakhir sunyi
Langkah kaki didalam rencanaNya

Semua berjalan dalam kehendakNya
Nafas hidup cinta dan segalanya

Dan tertakdir menjalani segala kehendakMu
Ya RABBI
ku berserah ku berpasrah hanya padaMu
Ya RABBI

Bila mungkin ada luka cuba tersenyumlah
Bila mungkin tawa cuba besabarlah
Kerana airmata tak abadi
Akan hilang dan berganti

Bila mungkin hidup hampa dirasa
Mungkinkah hati rindukan Dia
Kerana hanya denganNya hati tenang
Damai jiwa dan raga


~Mari kita solat maghrib bersama~

Thursday, June 2, 2011

Blues Sebelum Subuh: Jam Tangan

Menulis dari dalam bilik diwaktu subuh.

Ketika ini saya sudah mengenakan pakaian untuk ke tempat kerja, tapi saya menghadapi kesukaran untuk memilih jam tangan yang ingin saya pakai. Setiap hari sebenarnya begitu kerana saya mempunyai koleksi jam yang lebih dari 3. Itu antara kesukaan dan kegemaran saya, mengumpul jam tangan, tapi bukanlah dari jenama yang mahal sangat, cuma berjenama biasa. Ada yang saya beli sendiri dan ada juga dari pemberian teman. Dalam tempelan gambar itu cuma 5/8 dari koleksi saya, yang tersimpan ada lagi 2 utas, tapi kalau dikira dengan yang telah dikidnap oleh manusia lain, ada 11 semuanya.


Sambungan penulisan selepas subuh di atas meja di ofis saya.........

Ada masa juga saya bertukar-tukar jam mengikut keperluan, tapi kadang-kadang saya rasa sangat poyo bila berbuat begitu. Oleh kerana disebabkan salah satu jam itu tidak menggunakan kuasa bateri dan pemberian teman yang istimewa, jam tangan itu sentiasa melekap di tangan saya. Jam tangan digital pemberian adik, selalu saya gunakan unuk aktiviti lasak sahaja.


Bercerita tentang jam tangan, saya adalah manusia yang paling huru hara bila tidak memakai jam tangan dalam sehari, dan tiap waktu mata saya akan menjeling ke arah tangan lebih dari 3 kali dlm seminit, ye, itu sudah pasti.

Dan yang paling pasti, saya akan menghadiahkan teman-teman yang sangat50x istimewa dihati saya seutas jam tangan. Pada mereka-mereka yang saya panggil teman, pemberian jam tangan itu tanda kamu sangat 50x istimewa dihati saya.

Wednesday, June 1, 2011

Saya Mesti Melawan perasaan Yang Menyusahkan Itu

Saya terasa seperti ada yang mencekik-cekik leher saya dan menyocok-nyocok mata saya sekarang ini. Tangan saya tak henti-henti menggeletar dari semalam petang, semenjak mendapat sms itu. Kepala saya melayang ke arah yang pelik-pelik dan ini semua membuatkan hidup saya huru-hara. Pada mulanya memang marah, tapi bila diam dan berfikir, saya sedar, tak mengapa, ini semua ujian Tuhan buat saya.

Saya terima. Walaupun nanti akan ada waktu-waktu sunyi dan hantu kesedihan akan datang mengganggu hidup saya. Tak apa, saya masih ada mak yang cukup setia bersama susah senang, adik dan kawan-kawan yang cukup boleh membuatkan saya ketawa dan menghalau hantu kesedihan itu.

Ok, saya harus berhenti. Jika saya terus menulis lagi waktu ini, pasti hantu kesedihan datang lagi dan kerja saya tidak siap. Saya tidak mahu.

Waktu begini.... kerja....